Saturday, 22 May 2021

Jihad atau Jahat

 Dari group sebelah, untuk kita sama2 fikirkan.


_Salam sahabat² yang dikasihi... catatan yang bagus untuk dibaca..._


Ini bukan post perkauman tetapi kisah suatu kaum.


Saya tidak bekerja di Pusat Pemberian Vaksin tetapi ada menerima keluhan dari sahabat-sahabat yang terlibat menguruskan pemberian vaksin fasa 2.


Sungguh mengecewakan apabila ketidakhadiran penerima vaksin pada hari temujanji adalah tinggi hingga 30 - 40% dari jumlah yang sepatutnya hadir.


Maksudnya jika 500 orang yang sepatutnya terima vaksin, seramai 150 hingga 200 orang tidak hadir.


Malangnya, majoriti yang tidak hadir adalah di kalangan orang Melayu. Malah di negeri-negeri Pantai Timur dengan peratusan penduduk Melayu yang tinggi, pendaftaran untuk vaksin juga rendah. Yang dah beri persetujuan, tidak hadir. Ada yang dah dapat dos pertama, enggan pula mendapat dos kedua.


Biasanya PPV akan ‘standby’ senarai menunggu. Jika nama yang tak sepatutnya hadir, tidak hadir, mereka akan digantikan dengan penerima lain. Ada yang tiada dalam ‘standby list’ ini, sanggup datang menunggu sampai ke petang, mencuba nasib sekiranya dapat mengisi kekosongan. Kadangkala berjaya, kadangkala tidak. Namun, mereka tidak serik datang lagi keesokan harinya kerana mereka tahu masa dan peluang untuk mendapatkan vaksin itu sangat berharga.


Satu pemerhatian oleh mereka yang bekerja di PPV ini ialah mereka yang sabar menunggu sampai ke petang ialah di kalangan masyarakat Tiong Hua. Ada yang bernasib baik, penantian mereka berhasil. Tetapi jika belum, mereka tidak jemu untuk berusaha lagi dan lagi datang menunggu walau berkerusi roda dan bertongkat.


Masyarakat Melayu bagaimana pula ? 


Mereka jaguh di media sosial. Apa saja maklumat walaupun tidak sahih, hanya andaian dan spekulasi, tuduhan dan sangkaan, perkara itulah yang disebar-sebar. Mak ayah yang dah dapat temujanji vaksin, anak-anak yang halang dan tidak memberi keizinan. Semua lebih percaya kepada khabar angin dan propaganda anti vaksin berbanding nasihat dan saranan mereka yang arif dan gesaan pemerintah. 


Tidak cukup sekadar itu, tohmahan dan kutukan dilemparkan tanpa adab kepada petugas dan penguatkuasa. Pemerintah dan kerajaan sememangnya telah lama menjadi sasaran.


Yang hairannya, mereka jugalah yang mengamuk bila tak dapat balik beraya jumpa mak ayah, tak dapat solat di masjid, tak dapat berniaga.


Mereka jugalah yang mengadu suami tak dapat teman di bilik bersalin, tak dapat melawat dan meneman ahli keluarga yang sakit di hospital, atau menziarahi ahli keluarga yang mati atau sakit di rumah.


Jangan bercakap soal marah kepada zionis Israel menindas Palestin, andai diri sendiri tak sanggup berkorban ambil risiko vaksin untuk menyelamatkan bangsa sendiri.


Jangan bercakap soal jihad mempertahankan nyawa saudara seIslam kita di Palestin, kalau melindungi nyawa bangsa sendiri pun berfikir dua kali.


Negara haram Israel berjaya memberi vaksin kepada majoriti rakyatnya sehingga mereka kembali berasa kuat untuk menyerang Palestin.


Kita ?


Balik berhari raya memeluk mak ayah pun belum tentu kita dapat tahun depan kalau beginilah kita berterus-terusan tenggelam dalam arus teori konspirasi dan berita palsu. 


Moga Allah memberi petunjuk kepada kita semua untuk membuat keputusan yang terbaik bukan semata-mata untuk diri sendiri tetapi untuk ummah dan negara Malaysia yang kita cintai ini.



No comments:

Post a Comment