Tuesday, 13 August 2024

Dendam Itu Termasuk Dosa🎯

 Dendam Itu Termasuk Dosa🎯


————————————-

Saya tertarik dengan pengisian kisah ini. Kita sering menunggu ketika sakit, ketika tenat, ketika hampir mati, ketika sakit kronik atau ketika diberi durasi masa yang singkat oleh doktor untuk hidup, baru lah kita mula ingin maafkan orang, maafkan musuh, maaf orang yang kita rasa patut kita maafkan tetapi kita    tidak maaf ketika sihat.


Kerana apa? Kerana ego kita. Kerana takkabur kita. Kerana kita yakin seumpama kita tahu tarikh kematian kita. 


Hati kita tidak bersih. Hati kita sentiasa dendam. Hati kita sentiasa merasakan bahawa aku tidak bersalah.


Soal maaf ini bukan soal siapa salah dan siapa benar. Soal maaf ini ialah soal hati dan soal sikap. 


Ada sedikit perkongsian yang boleh ikita ambil ikhtibar dari kisah Hamka ini insyaAllah.


Saya merasakan diri amat kerdil dan ini merupakan nasihat buat diri dan saya kongsikan agar ada manfaat insyAllah yang boleh kita belajar.


Kisah Hamka - Hati Yang Mulia.


Pada 1964, ulama besar nusantara, Buya Hamka pernah ditahan secara zalim oleh Presiden Indonesia Soekarno,dengan tuduhan kononnya terlibat dalam rencana pembunuhan beliau. Hamka ditahan tanpa bicara, bahkan buku-bukunya dilarang untuk diedarkan.


Setelah Buya Hamka dibebaskan, takdir Allah, akhirnya Soekarno digulingkan, dikenakan tahanan rumah, kehidupannya mulai terasing, lalu dalam keadaan uzur beliau meninggalkan pesan buat orang yang pernah dizaliminya, Buya Hamka. Ia berbunyi, “Bila aku mati kelak, minta kesudian Hamka untuk menjadi imam solat jenazahku..”


Apabila pesan itu disampaikan, Buya Hamka terkejut, tanpa fikir panjang, beliau melawat ke Wisma Yaso, tempat jenazah Bung Karno disemayamkan. Sesuai dgn wasiat Soekarno, Buya Hamka pun memimpin solat jenazah tokoh yang pernah menghumbankannya ke penjara itu. 


Dengan ikhlas beliau menunaikan wasiat itu, mereka yang hadir pun terharu.


Lalu, apakah Buya Hamka tidak menaruh dendam pada Soekarno? 


Dengan tulus ikhlas beliau mengatakan, “Aku tidak pernah dendam kepada orang yang pernah menyakitiku. Dendam itu termasuk dosa


Selama dua tahun empat bulan aku ditahan, aku merasakan itu semua merupakan anugerah yang tiada terhingga daripada Allah kepadaku, sehingga aku mampu menyelesaikan kitab tafsir Al-Qur’an 30 juz (Tafsir Al Azhar). 


Jika bukan dalam tahanan, tidak mungkin aku punya waktu untuk menyelesaikan pekerjaan itu…”


Kesimpulannya: Maafkanlah sesiapa pun yang memusuhimu, jangan sesekali menyimpan dendam, ketahuilah bahawa pasti ada hikmah di sebalik segala-galanya.


“Orang yang paling dibenci oleh Allah adalah orang yang mempunyai sifat dendam” (HR Bukhari).🤲🤲🖐️







No comments:

Post a Comment