Sunday 29 December 2019

Amanah Dalam Bekerja



Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek kehidupan. Bermula daripada bangun tidur hingga kepada tidur semula telah dijelaskan oleh syariat Islam. Begitu juga daripada perseorangan dan individu hingga kepada mentadbir urusan negara dibincangkan oleh agama Islam.
Isu bekerja adalah antara ikhtiar manusia meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna berbanding dengan makhluk-makhlukNya. Konsep serta nilai murni pekerjaan juga amat dititiberatkan oleh oleh Islam

GALAKKAN BEKERJA DAN BERUSAHA

Galakan untuk berusaha dalam mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ
Maksudnya: “Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).
Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadis di atas ialah:
  • Hadis ini menunjukkan bahawa bekerja merupakan perkara yang dituntut. Ini menunjukkan kita perlu berusaha dalam meneruskan kesinambungan hidup.
  • Dengan modal insan, pekerja dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kreatif, inovatif dan bermutu. Ini kerana dengan tahap disiplin yang tinggi sudah tentu dapat menghasilkan natijah dan perkhidmatan yang cemerlang. Islam menentang keras budaya malas, ponteng kerja dan juga sikap acuh tak acuh atau sambil lewa dalam melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan. Ini kerana, dengan sikap seperti itu kegagalan dan juga kemunduran sudah pasti bertapak dalam kehidupan mereka, bahkan memberi kesan kepada negara untuk mencapai wawasan yang gemilang.
Justeru, beberapa langkah seperti memotivasikan pekerja, melihat contoh dan teladan pekerja yang berjaya di samping semangat dan ruh ‘pekerjaan sebagai satu ibadat’ hendaklah dijadikan motto atau misi oleh pekerja.
Kami nukilkan di sini dua kenyataan pujangga yang menyebut:
  • “Carilah rezeki yang halal, dan jauhi rezeki yang haram. Hindarkan dirimu untuk mengemis kepada yang lain. Berdagang itu lebih baik daripada menjadi pegawai. Gunakan duitmu untuk berdagang, dan hiduplah dengan sederhana.”
  • “Jika anda menikmati kerja-kerja yang produktif, maka saraf anda akan mengendur, jiwa anda akan tenang dan lautan ketenangan akan menenggelamkan anda.”
sumber : Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Post a Comment