Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Syukur juga atas hembusan nafas yang masih diberikan olehNya, untuk kita meneruskan hari-hari mendatang dengan lebih baik amalnya, ibadatnya dan taqwa kita kepada Allah SWT. Berita pemergian rakan seUTeM menghadap Illahi dua hari berturut-turut telah mengundang rasa sedih, sayu dan muhasabah kita pada Tuhan Yang Menghidupkan dan Mematikan kita.
Resahnya hati kita apabila memikirkan bagaimana nasib kita nanti. Adakah pergi kita sebaik orang-orang soleh? Adakah pemergian kita nanti akan disebut-sebut sebagai orang yang baik-baik? Amalan dan akhlak kita pada hari ini sahaja yang boleh menentukannya nanti..
Ibnu Umar meriwayatkan, maksudnya : “Rasulullah memegang bahuku lalu berkata, ‘Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau perantau.’
“Kemudian, Ibnu Umar berkata: ‘Sekiranya kamu berada pada waktu petang, jangan kamu mengharap untuk hidup sampai pagi hari. Sekiranya kamu berada pada waktu pagi, jangan kamu menanti waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebagai bekalan pada masa sakitmu dan masa hidupmu untuk kematianmu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Demikianlah hidup kita, hanya Allah SWT sahaja yang tahu masa, di mana dan bagaimana kita menemui ajal.
Terdapat beberapa adab yang perlu kita tahu dan lakukan apabila menerima berita kematian Antaranya adalah :
1. Istirja’ ( Mengucapkan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ) apabila menerima berita kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:
2. Solat Jenazah Kepada Si Mati dan Berdoa Untuknya
Pensyariatan solat jenazah berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA:
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”
(Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951))
Antara doa yang diajar
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melakukan solat jenazah, lalu aku mendengar Baginda berdoa. Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Auf berkata: Aku berharap biarlah aku menjadi mayat itu kerana doa Rasulullah SAW ke atas mayat tersebut.”
(Riwayat Muslim (963))
3. Larangan Meratap
Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
Maksudnya: “Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.”
(Riwayat Muslim (67))
Sekadar tangisan biasa atau kesedihan tidaklah menjadi kesalahan.
4. Larangan Mengandaikan Kematian Dengan Terjadinya Sesuatu Peristiwa
Hal ini pernah berlaku pada zaman Nabi SAW apabila puteranya Ibrahim telah meninggal dunia dan berlaku gerhana maka Rasulullah SAW membetulkan hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.”
(Riwayat Muslim (904))
5. Adab Pujian Kepada Si Mati
Maksudnya, hendaklah berkata baik kepada si mati dan bukan mengungkitkan perkara yang tidak baik. Ini berdasarkan kepada hadith Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahlinya riuh rendah lantas sabda Baginda SAW: ‘Jangan kamu doa atas diri kamu kecuali yang baik. Ini kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu kata. Kemudian Baginda berdoa : ‘Ya Allah, ampunkan bagi Abi Salamah, angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk…”
(Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment