Salam Syaaban.
Kita sering menyangka bahawa kekayaan, kemewahan dan pangkat itu adalah kejayaan. Ternyata kita silap. Kejayaan yang sebenar bagi seorg manusia adalah khusyuk dalam solat (QS. 23:1-2).
Dimana kedudukan solat dan kejayaan itu beriringan di dalam seruan azan. Bahawa manusia yang khusyuk dalam solat itu benar-benar ikhlas hatinya (1. mukhlis) semata-mata kerana kecintaannya kepada Allah SWT. Dan dia melepaskan segala keakuan dirinya zahir dan batin (2. mukhlas), di dalam setiap gerak dan diam di dalam solat; bahawa tiada wujud dirinya, tiada bergerak dia tanpa kehendak dan qudrat serta kasih sayang Allah yang dimenifestasikan keatasnya. Dan (3. berihsan) dia terhadap kewujudan majazi dirinya dan perilaku solatnya seolah-olah dia melihat Allah dan Allah melihatnya (HR Muslim, no. 8 ). Sehingga tenggelam/lupa/hapus dirinya dan segala sesuatu di dalam gelora kekhusyukkan dan kecintaannya terhadap Allah SWT.
Solat yang khusyuk itu akan terbawa-bawa ke luar solat (dawam/daim); berkekalan dalam setiap detik dan ketika di dalam seluruh kehidupan manusia samada ketika tidur mahupun jaga. Syuhud dia memandang setiap benda, alam semesta dan segala kejadian dan perbuatan sebagai tanda keindahan dan keagungan Allah SWT (QS. 2:115). Dan seluruh hembusan nafasnya, degupan jantungnya, geseran darah di dalam pembuluhnya menjadi zikir. Seluruh penglihatannya, pendengarannya, dan pancaindera yang lain mengingatkan dia akan rahmat dan kasih-sayang Allah SWT pada setiap detik dan ketika (QS. 3: 190-191).
Maka dengan itu, semua perkara yang dia perbuat menjadi ibadat. Bila diberi nikmat dia bersyukur dan bersabar; bila diuji dia bersabar dan bersyukur. Bila bercakap, dia tidak akan berdusta; bila berseloroh dia tidak akan melampau; bila diberi amanah dia tidak akan khianat; bila jadi pemimpin dia adil; bila jadi penguatkuasa dia amanah; bila berniaga dia jujur dan begitulah seterusnya. Maka benarlah solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar (QS. 29: 45).
Nah. Bila setiap pekerjaan dan gerak diam manusia sehari-hari menjadi ibadah (solatul daimun) dan dijauhi dari perbuatan dosa, maka disitulah turunnya keredhaan dan keberkataan Allah. Dan keberkatan inilah yang kita jadikan rezeki, yang kita makan, yang kita beri anak isteri kita makan sehari-hari.
Rezeki itu kemudian membentuk sel dan menjadi darah daging dalam tubuh setiap manusia. Dan tubuh itu kemudian digunakan kembali untuk solat dan beribadat dan begitulah seterusnya ia berputar saban waktu dan ketika sehinggalah manusia sampai ajalnya. Saat itu, tiadalah nikmat yang paling mahal dan indah melainkan keredhaan dan kecintaan kita kepada Allah SWT, dibalas dengan keredhaan dan kecintaan Allah SWT kepada kita (QS. 89: 27-30).
Itulah yang sebenar-benarnya kemuncak segala kejayaan. Dan ia bermula dari solat yang khusyuk. Wallahualam.
Semoga saya dan kita sama2 dikurniakan kesabaran, kekuatan dan kesempatan dalam memperbaiki solat kita. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment