PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Mukmin Yang Dikagumi*
عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
_*Daripada Shuhaib RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”*_ (HR Muslim No: 5318) Status: Hadis Sahih
*Pengajaran:*
1. Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan setiap musibah yang berlaku keatas dirinya.
2. Mukmin yang sempurna sentiasa bersyukur diatas setiap kebaikan atau nikmat yang diperolehi. Syukur itu diperlihatkan pada lima perkara:
a. Tunduk dan merendah kepada Allah, zat yang disyukuri
b. Cinta kepada Allah
c. Mengakui bahawa nikmat itu adalah pemberian Allah
d. Memuji Allah dengan lisan dan perbuatan atas limpahan nikmat tersebut
e. Tidak memanfaatkannya dalam perkara yang dibenci Allah.
3. Mukmin yang dikagumi itu ialah apabila mendapat keburukan atau musibah, dia bersabar dan reda. Dengan kesabaran itu dapat menaikkan kedudukannya serta dianugerahkan pahala tanpa batasan daripada Allah SWT.
4. Ibnu Qayyim menyatakan: sabar merupakan setengah dari keimanan dan setengahnya lagi adalah syukur.
5. Seorang yang tidak beriman, hatinya sentiasa keluh kesah, jiwanya selalu meronta dan terseksa apabila ditimpa musibah. Hati sentiasa dipenuhi perasaan hasad dengki, kemarahan dan memberontak. Tidak redha walaupun telah banyak diberikan pelbagai nikmat kerana dia tidak bersabar di atas musibah tersebut.
6. Pentingnya sifat syukur apabila seseorang mendapat kebaikan dan bersabar apabila ditimpa musibah kerana ianya menjadikan seseorang itu sebenar-benar Mukmin tetapi amatlah sedikit dalam kalangan hamba yang diberikan dua sifat ini. Justeru, taufik dan hidayah Allah SWT amat diperlukan untuk meraih anugerah ini kerana sifat syukur dan sabar itu adalah sebaik-baik nikmat.
*Negara Rahmah Ummah Sejahtera*
#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
06hb Oktober 2019
07hb Safar 1441H
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
Ingin menyertai 1 hari 1 hadis dalam bahasa Inggeris? Sila klik link di bawah:
https://t.me/ahadithadayAHAD
No comments:
Post a Comment