Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat
Komunikasi adalah salah satu keperluan manusia untuk berkongsi dan berhubung di antara satu sama lain. Namun dalam berkomunikasi, kita hendaklah berpandukan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan rujukan tertinggi umat Islam. Sesuai dengan peredaran zaman masa kini, kita mendapati media sosial seperti whatsapp, telegram, twitter, facebook, instagram dan lain-lain lagi menjadi perantara kepada sebaran sesuatu maklumat.
Sekadar Hiasan |
Namun apa yang berlaku pada hari ini, terdapat segelintir individu dan golongan tertentu menggunakan media sosial ini sebagai medan untuk menabur fitnah dan berniat jahat dengan mencipta sesuatu perkara yang tidak benar. Lebih menyedihkan, apabila berita sedemikian diterima, ada dalam kalangan kita terus menyebarkan kepada orang lain tanpa memikirkan dan menyelidiki tentang kesahihan berita tersebut. Komen yang berbaur kebohongan, kebodohan serta disulam dengan caci maki dan kebencian.
Sekadar Hiasan |
Sewajarnya, kita perlu mengambil pendekatan Tabayyun iaitu menyelidiki dengan teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sesuatu peristiwa dan berita yang datang, sehingga kita mengetahui kesahihan perkara yang disampaikan. Firman Allah S.W.T:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
(Surah al-Hujurat: 6)
Konsep Tabayyun atau teliti juga mengajar kita supaya tidak mendakwa atau memperkatakan sesuatu kecuali yang benar dan memahami bahawa mencipta sesuatu yang tidak benar itu adalah tanda munafiq. Kita hendaklah memastikan berita tersebut shahih dari sumber sebenarnya dan barulah boleh dikongsi. Tidak salah untuk kita mengesyaki sesuatu berita kerana dapat menjauhi fitnah dan dosa. Jangan disebabkan tindakan kita yang terburu-buru menyebabkan ada individu yang difitnah, dihina dan dicaci, kerana sesuatu berita yang disebarkan tidak benar. Mafhum hadith Rasulullah s.a.w :
Yang bermaksud : "Cukuplah seseorang dianggap pembohong dia menyampaikan
semua apa yang pernah dia dengar."
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Isu tabayyun ini perlu diberi perhatian serius lebih-lebih lagi apabila melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan agama. Seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang tidak pasti keshahihannya. Isu keselamatan juga amat penting apatah lagi jika ia melibatkan maruah dan nyawa akibat berlakunya kebocoran maklumat kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai pengguna media sosial, kita mesti tahu bahawa ada sesetengah perkara boleh dikongsi dan ada yang perlu dirahsiakan. Jika tidak, ia boleh menjejaskan keluarga, organisasi, agama dan negara. Lantaran itu, sepertimana kita menjaga adab sesama kita di alam nyata begitu jugalah kita wajib menjaga adab di laman sosial agar seiring dengan tuntutan agama.
Sekadar Hiasan |
Marilah kita sentiasa bermuhasabah dan menginsafi segala kekurangan dan kelemahan kita sepanjang menggunakan media sosial terutamanya berita yang berkaitan dengan orang lain kerana segala maklumat yang kita sebarkan, kata-kata yang dihamburkan dan tingkah laku kita akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Sekadar Hiasan |
Sekadar Hiasan |
ahlifikirnegara: Jangan Kongsi Jika Tidak Pasti. Saham akhirat untuk kebaikan dan kejahatan yang disebarkan.
Sumber:-
ڤوست إسلام
Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka
Telefon: 06-270 2091
Fax: 06-270 1042
Sekadar Hiasan |
Sekadar Hiasan |
Sekadar Hiasan |
No comments:
Post a Comment