KONSEP ILMU
Dalam bahasa Melayu, ilmu bererti; pertama:
pengetahuan, kepandaian dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan
lain-lain, atau pengetahuan berkenaan segala sesuatu selepas manusia itu mati.
Kedua, ilmu
bererti kajian berkenaan sesuatu perkara.
Dalam bahasa
Inggeris, ilmu dikenali dengan istilah 'knowledge'. Walau bagaimanapun, istilah
'knowledge' tidak membawa makna yang sama dengan ilmu dalam tradisi Islam.
Sebab, ilmu adalah salah satu konsep yang mendominasi Islam itu sendiri.
Istilah ilmu
berasal daripada perkataan ‘ilm dalam bahasa Arab. ‘Ilm bererti lawan jahil.
Oleh itu, ilmu bukan sekadar bererti pengetahuan. Sebab, jahil bukan sekadar
bererti tiada pengetahuan.
Istilah “zaman
jahiliah” atau “hukum jahiliah” boleh dirujuk dalam hal ini.
Sebagai sebuah
istilah khusus dengan konsep tersendiri, ilmu mempunyai lebih 1,200 definisi.
Hal ini disebabkan ilmu dan definisinya amat penting dalam akidah Islam. Tidak
ada buku tentang ilmu kalam yang tidak membincangkan definisi ilmu, walaupun
sedikit.
Selain itu,
jumlah definisi yang banyak, juga disebabkan kesukaran mendefinisikan ilmu.
Walaupun begitu, merujuk kepada sifat-sifat dan ciri-cirinya, ilmu boleh
didefinisikan.
Maka, ilmu ialah
ketibaan makna tentang sesuatu dalam diri. Ilmu juga didefinisikan sebagai
iktikad kukuh yang tepat dengan hakikat.
Kedua-dua
definisi di atas, menolak maklumat, informasi, data atau fakta sebagai ilmu.
Sebab, ilmu ialah maklumat, informasi, data, fakta atau apa-apa sahaja yang
benar, yang bermakna dan memberi makna, berbentuk kepercayaan dan keyakinan,
secara kukuh kepada diri seseorang.
Oleh itu, ilmu
bukanlah sesuatu yang neutral. Ia adalah sesuatu yang mempunyai nilai dan
memberi nilai.
Maksudnya, tidak
semua ilmu sah. Ilmu boleh jadi benar atau salah, boleh jadi Islam atau kufur,
boleh jadi timur atau barat. Maka, orang yang berilmu dengan ilmu-ilmu
tertentu, memanifestasikan nilai ilmu itu.
Berkaitan dengan
hal ini juga, ilmu yang benar itu adalah suci. Sebab, ilmu yang benar itu merupakan
manifestasi keesaan, keagungan dan keilahian Allah. Kesannya, ilmu tidak
terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira niat dan keupayaan. Hal ini merujuk kepada hierarki ilmu.
ahlifikirnegara: ......bersambung by the will of
Al-Mighty.......
No comments:
Post a Comment