1. Tidak Berkurang Harta Kerana Bersedekah
Allah memuliakan orang yang bersedekah sehingga Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” (HR Muslim 2588)
Walaupun secara literalnya apabila anda bersedekah anda mengeluarkan duit, tetapi peracayalah insya-Allah Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih berharga.
2. Pahala Berlipat Ganda Dengan Bersedekah
Kemurahan hati tidak dipulangkan dengan pahala biasa malah Allah SWT telah menjanjikan pahala yang berlipat ganda kerana bersedekah.
Dalam surah al-Baqarah, yang membawa maksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah al-Baqarah: 261)
3. Sedekah Bukti Keimanan Kepada Allah SWT (HR Muslim, 223)
Harta adalah salah satu material yang dicintai manusia. Tidak hairanlah apabila seseorang itu bersedekah, ia adalah bukti keimanan kepada Allah. Cinta kepada Allah melebihi sayang kepada harta. Malah dalam surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud;
“Kalian tidak akan mendapatkan kebaikan, sampai kalian infakkan apa yang kalian cintai.”
Ini sahaja cukup menunjukkan Allah sayang kepada hambanya yang bersedekah. Malah akan dijanjikan kebaikan setelah bersedekah.
4. Dengan bersedekah, Dosa Terhapus
Mukmin yang sejati sememangnya adalah dermawan. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, 614)
Sebagaimana hadis ini, amalan yang boleh menghapuskan dosa adalah bersedekah. Tidaklah sedekah itu menjadi sia-sia kerana akan dihapuskan dosa-dosa dilakukan.
5. Pintu Syurga Khas Untuk Yang Bersedekah
Tahukah anda di syurga terdapat sebuah pintu istimewa untuk golongan yang bersedekah ini?
Sesungguhnya terlalu banyak kelebihan bersedekah yang boleh dijadikan dorongan untuk memberi lagi dan lagi. Malah dalam hadis ini, ada disebut infak harta sebanyak dua kali di jalan Allah, akan diseru namanya untuk ke pintu syurga khas ini.
Hadis lengkapnya adalah: “Sesiapa yang berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.” (Riwayat Al-Bukhari – 1897 dan Muslim – 1705)
6. Naungan Pada Hari Akhirat (HR Al-Bukhari, 660)
Orang yang sering bersedekah akan memperoleh naungan di akhirat. Orang yang sentiasa membuat kebaikan dengan bersedekah malah akan menyiapkan bekal mereka untuk akhirat dengan pengakhiran yang baik.
Segala kebaikan yang dilakukan pada hari ini akan dikira sebagai pertolongan dan pahala pada hari pembalasan nanti.
7. Penawar atau Ubat Kepada Penyakit
Hadis ini berbunyi: “Bentengi hartamu dengan zakat, ubati penyakitmu dengan sedekah, dan hadapi ujianmu dengan doa.” (Hadis Riwayat Thabrani-10198)
Nikmat manakah yang kita dustakan? Dengan bersedekah kerana Allah SWT, rupa-rupanya akan menolong memberikan kesihatan kepada kita insya Allah.
Bersihkanlah harta dengan bersedekah. Insya-Allah harta yang bersih menjadi rezeki berkat untuk diri sendiri, ahli keluarga dan sesiapa yang bermanfaat.
8. Sedekah Jauhkan Daripada Api Neraka
Walaupun dengan bersedekah sedikit, itu sudah cukup untuk membantu dan melindungi diri daripada azab api neraka. Yang penting sewaktu bersedekah adalah keihklasan hati tanpa riak untuk beramal.
Daripada Aisyah R.AHA, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.” (Riwayat Ahmad)
Dengan sedikit sumbangan, anda menempah rumah di syurga. Apa yang perlu dibuat kini adalah menjaga hubungan dengan Allah dan terus lakukan kebaikan.
Semoga sedekah ini, dosa lama terhapus dan dijanjikan syurga di akhirat nanti. Tidak mahukah kita? Tepuk dada, tanya iman.
Sumber: https://wazan.upm.edu.my/artikel/8_kelebihan_bersedekah_yang_disebut_di_dalam_al_quran_hadis-72997
Diolah dan diedit:
Bahagian Masjid dan Takmir
Pusat Islam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
“MENJAJAR UNIVERSITI MELONJAK KEHADAPAN”
“MALAYSIA MADANI”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“KOMPETENSI TERAS KEGEMILANGAN”
ڤوست إسلام
Pusat Islam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka
Emel: pusatislam@utem.edu.my
No comments:
Post a Comment