Thursday, 15 August 2019
DAULAT POLIS DAN TENTERA
Pada suatu petang yang hening, seorang anak bertanya kepada ayahnya..
Anak: Ayah, apa gunanya Tentera di negara ini? Kita tidak berperang, tidak juga darurat. Negara kita aman sahaja. Bukankah Polis sahaja sudah cukup untuk menjaga dan mengawal negara kita ini?
Dengan tenang sambil mengukir senyuman, si ayah menjawab.
Ayah: Anakku, cuba kamu lihat dua pohon rambutan di sana. Kedua-duanya berbuah lebat, kedua-duanya juga punyai kerengga. Tetapi salah satunya punyai sarang tebuan yg amat besar.
Anakku, antara dua pohon ini, yang manakah akan kau pilih untuk dipetik buahnya?
Anak: Wahai ayah, walaupun gigitan kerengga itu pedih, sanggupku tahan sakitnya kerana buah yang ranum. Tetapi mana mungkin ku hampiri pohon yang punyai sarang tebuan yang besar. Itu sudah pasti menempah maut.
Ayah: Anakku, inilah analoginya. Pohon itu ibarat negara kita. Punyai hasil bumi yang banyak, punya kedamaian dan keindahan. Manakala kerengga itu pula adalah ibarat Polis yang sentiasa menjaga setiap ceruk dan penjuru pohon, agar kekal keharmoniannya. Pentingnya kerengga kepada pohon, samalah seperti pentingnya Polis kepada negara.
Sarang tebuan itulah umpama Tentera. Gagah dilihat dari luar walaupun cuma sarangnya. Tebuannya? Sudah tentu sentiasa bersiap sedia bila diperlukan. Akan menyerang bila pohon benar-benar terancam. Walau kita sendiri tidak dapat melihat apakah yang sedang tebuan lakukan, percayalah anakku, bisa sang tebuan tidak akan pernah hilang.
Sekarang adakah kau nampak pentingnya Tentera kepada negara ini?
Anak: Ya ayah. Polis dan tentera punyai peranan berbeza, walaupun dilihat hampir sama. Matlamat hanya satu, mempertahankan kedaulatan negara dan kesucian negara. Terima kasih ayah.
Ayah: Tetapi ingatlah anakku, di sebalik akar pohon terdapat sang anai-anai yang sedikit demi sedikit memakan tunjang pokok, yang akhirnya pokok itu jatuh ke tanah jua.
Itulah ibarat negara kita. Punya polis dan askar walaupun dah bersara atau berhenti yang sanggup mati dan sentiasa bersedia. Akhirnya tersungkur jua akibat daripada sikap negatif pemimpin-pemimpin mereka dan penipuan oleh puak-puak yang berkepentingan untuk agenda diri sendiri.
~ Jazakumullahu khairan kathira.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment