Sunday, 23 June 2019

Sopan Santun

Assalamualaikum w.b.t.
 
Agama Islam adalah agama yang penuh rahmat dan kasih sayang. Nilai-nilai kasih sayang menjadi keutamaan Islam dalam perbuatan dan pergaulan sesama masyarakat. Nabi s.a.w adalah seorang yang paling berakhlak diantara semua manusia di muka bumi ini. Didalam surah al-Qalam;

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ (4)

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
  (Surah al-Qalam:4)

Umat Islam adalah umat yang sentiasa saling berkasih sayang, hormat, tolong menolong antara satu sama lain. Sabda Rasulullah s.a.w ; 
 
 
 
Yang bermaksud : Seorang muslim adalah orang Islam yang lain selamat daripada lidah dan tangannya."



                                                                                                                                     (Imam al- Bukhari dan Imam Muslim)

 Salah satu budaya yang kelihatan semakin hilang dalam masyarakat kita kini ialah budaya kesantunan. Masyarakat Melayu memang sudah dikenali sebagai satu masyarakat yang mempunyai nilai kesantunan yang amat tinggi. Nilai ini telah diwarisi semenjak zaman nenek moyang kita. Namun, amat menyedihkan apabila nilai ini semakin ditinggalkan.

 Kesantunan maksudnya berlemah lembut dalam perbuatan dan bahasa. Sebagai contohnya beradab dengan tetamu, ketika berada dalam sesuatu majlis sama ada majlis ilmu mahupun majlis keramaian. Begitu juga hendaklah menjaga adab ketika berbicara dengan suara yang lemah lembut serta mempamerkan tingkah laku yang mulia. Di samping itu juga, kita hendaklah sentiasa berhemah di jalanraya, di tempat kerja, pusat membeli belah dan terutamanya di dalam masjid. Nabi s.a.w telah bersabda;
 
“Janganlah kamu berada di jalan. Para Sahabat berkata, “Sesungguhnya kami perlu berada di jalan untuk berbincang.” Nabi menjawab, “Jika kamu tidak dapat berganjak melainkan perlu berada di jalan, maka berikanlah hak-hak jalan tersebut.” Mereka bertanya, “Apa hak-hak jalan tersebut wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu (atau menyakiti) orang, menjawab salam, dan menyuruh kepada yang maruf serta mencegah dari kemungkaran.”
                                                                                                                                                                          (Imam al-Bukhari) 
Hendaklah kita orang Islam mengambil berat terhadap nilai berbahasa. Janganlah kita menggunakan bahasa yang kasar, kesat, lucah dan biadab. Setiap kata ada nilainya. Dengan itu gunakanlah bahasa yang sesuai mengikut keadaan dan suasana.Budi bahasa adalah unsur penting dalam kehidupan masyarakat yang diasaskan daripada tingkah laku dan penggunaan kata-kata yang dipilih ketika berbicara dengan seseorang. Bak kata pujangga Melayu: “Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang elok itu budi, yang indah itu bahasa.”
 
 



Apabila budi digabungkan dengan bahasa lahirlah satu pengertian yang jelas, iaitu percakapan yang baik yang mengandungi tutur kata sempurna dan menyenangkan, penuh dengan sifat-sifat menghormati pihak lain dan bersopan santun diiringi dengan akhlak dan panggilan yang mulia. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Hujaraat ayat 11 yang bermaksud:

Yang bermaksud:"..dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah beriman."


Alangkah malangnya amalan dan budaya umat Islam hari ini. Budaya mulia ini telah terhakis oleh teknologi komunikasi moden. Apa yang menyedihkan penggunaan bahasa di media sosial ialah bahasa kasar, kesat dan kotor. Ia telah mengambil tempat budaya kesopanan yang selama ini dipertahankan dalam budaya masyarakat. Jagalah kesantunan bahasa kerana ia mencerminkan ketamadunan sesebuah bangsa.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menanamkan azam dan tekad untuk mengembalikan kegemilangan kesantunan adab dan budi Bahasa dalam percakapan dan perlakuan seharian. Berikanlah didikan komunikasi yang bersopan santun kepada generasi alaf baru ini agar kasih sayang akan terus tersebar dalam masyarakat.  


ڤوست إسلام
Pusat Islam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka
 
Telefon: 06-270 2091
Fax: 06-270 1042
 

No comments:

Post a Comment