Friday, 8 August 2025

PERANG THAILAND -CAMBODIA

 KAMALUDDIN (VG):

PERANG THAILAND -CAMBODIA


“Perang Tidak Pernah Memberi Amaran: Mengapa Angkatan Tentera Malaysia Perlu Diperkasa?


Oleh:


Brig Jen Dato Dr Mohd Radzi Abdul Hamid

Ket Pengarah Perancang Strategik, BPP ATM


“Jika engkau ingin keamanan, bersiaplah untuk perang.” 


Ancaman Tidak Bernotis


Ketika dunia semakin terjerumus ke dalam ketidakstabilan geopolitik dan persaingan kuasa besar, kita tidak boleh lagi berpegang pada andaian bahawa Malaysia akan kekal aman selama-lamanya. Konflik antara Thailand dan Kemboja di sekitar kuil Preah Vihear merupakan satu contoh dekat yang perlu membuka mata rakyat Malaysia: betapa perang boleh tercetus hanya kerana sekeping tanah, dan rakyatlah yang akhirnya menjadi mangsa, bukan hanya askar atau pemimpin politik.


Perang hari ini juga (Iran-Israel, India-Pakistan, Thailand-Cambodia), menunjukkan siapa yang mempunyai aset perang dan berupaya untuk membalas dengan berkesan atau upaya TIBAI dulu sebelum ditenangkan akan beruntung dan tidak menyesal. Kalau setelah di damaikan, baru nak beli aset, sudah terlewat kerana negara sudah musnah dan rakyat sudah ramai yang bergelimpangan bak kata bidalan ‘menyesal dulu dapatan, menyesal kemudian tiada gunanya’. Nak balas tembak pun dah tak boleh.


Pengajaran dari Konflik Thailand-Kemboja


Konflik antara Thailand dan Kemboja berlaku kerana perebutan sempadan yang melibatkan kawasan bersejarah dan strategik. Walaupun kedua-dua negara ialah anggota ASEAN, rundingan gagal menghentikan tembakan. Peluru meriam dan senjata automatik menghujani kawasan perkampungan. Sekolah musnah. Kanak-kanak cedera. Tentera tidak sempat bersiap rapi. Mereka dihantar secara tergesa-gesa ke medan tempur. Apakah yang kita pelajari?


Pertama, Perang tidak menunggu kelulusan peruntukkan atau RMK.


Kedua, Musuh tidak akan memberi amaran dan salam.


Ketiga, Kegagalan bersiap awal membawa petaka pada rakyat dan kehancuran negara.


Malaysia Bukan Kebal


Malaysia selama ini terkenal dengan imej “negara aman”. Namun realitinya, kita bersempadan dengan negara yang punya sejarah ketenteraan aktif, kita mempunyai isu sensitif dengan semua negara jiran dan laluan laut kita adalah antara yang paling sibuk dan strategik di dunia. Konflik Laut China Selatan, ketegangan Selat Melaka, dan aktiviti militan rentas sempadan di Sabah memberi isyarat bahawa ancaman itu realiti, bukan spekulasi.


Rakyat Sebagai Mangsa Pertama


Kita memyaksikan sensiri bahawa  konflik yang meletus di Thailand dan Kemboja, rakyat yang paling menderita. Rumah musnah, sumber air terputus, sekolah ditutup, dan hospital tidak mampu menerima mangsa. Itu hanya konflik kecil antara dua negara jiran. Bayangkan jika ia berlaku di sempadan Kedah–Perlis atau Sabah–Sarawak atau Johor.


Adakah kita sudah cukup bersedia?


Adakah ATM sudah memiliki radar pengesan, roket, kapal selam, sistem anti-pesawat, dan peluru berpandu jarak jauh yang mencukupi? Adakah ATM memiliki peluru yang cukup. Jika jawapannya “belum”, maka rakyat wajib menyokong usaha memodenkan ATM, bukan meremehkannya atau melihatnya sebagai pembaziran.


ATM Bukan Untuk Berperang, Tetapi Untuk Mengelak Dari Padah dan Kemusnahan


Bukan tujuan kita membangunkan kekuatan tentera untuk berperang, tetapi untuk memastikan kita tidak perlu berperang. Musuh hanya akan berhati-hati jika kita kelihatan mampu melawan. Maka itu, ATM memerlukan:


Satu. Kapal perang generasi baharu untuk mempertahankan lautan kita.


Duq. Jet pejuang moden dan sistem pertahanan udara untuk melindungi ruang udara dari pencerobohan.


Tiga. Anggota yang terlatih, termasuk simpanan.


Empat. Sokongan moral dan psikologi daripada rakyat, agar anggota ATM tahu mereka tidak berjuang bersendirian.


Menyokong ATM Bukan Pilihan – Ia Kewajipan Rakyat


Dalam dunia yang penuh ketidakpastian ini, menyokong ATM bukan lagi pilihan patriotik semata-mata, tetapi tanggungjawab rakyat. Kita tidak boleh terus lena di bawah selimut keamanan. Kita mesti melihat aset pertahanan negara sebagai perisai rakyat, bukan sebagai perbelanjaan sia-sia.


Seperti Thailand dan Kemboja, kita juga memiliki sempadan yang rapuh dan sejarah ketegangan. Bezanya, adakah kita belajar dari pengalaman mereka, atau kita hanya menyesal bila sudah terlambat?


Persediaan Hari Ini, Perlindungan Esok


Perang tidak pernah memberi masa untuk bersedia. Ia datang secepat kilat, tetapi kesan kemusnahan bertahun-tahun lamanya. Jika rakyat benar-benar mencintai tanah air ini, maka bersedialah, bukan dengan senjata, tetapi dengan sokongan kepada Angkatan Tentera Malaysia. Bantulah mereka untuk menjaga kita semua. Kerana apabila meriam meletup dan peluru beedesit di langit, rakyatlah barisan hadapan sebenar.


“Barang siapa tidak bersiap hari ini, akan musnah pada hari yang tidak dijangka.”


Mmp

#infosemasa

@infosemasaofficial






No comments:

Post a Comment