Wednesday, 12 August 2020

Hati mahu baik be!

 
Amal yang paling utama boleh menjadikan keseluruhan hidup kita dikira ibadah ialah amal hati. Amal hati adalah amal yang tidak dapat dilihat tetapi padanya tempat jatuhnya pandangan Allah yang paling utama. Kenapa amal hati lebih penting berbanding amal anggota.

Amal anggota atau amal jawarih bersifat ada tempoh, ada mula dan akhirnya. Namun tidak demikian dengan amal hati. Ia tiada had masa.

Ia rahsia kita dengan Allah dan kerja hati itu berterusan.

Contoh amalan hati ikhlas, mengharap reda Allah (ihtisab), takut dan harap (khauf dan raja), sabar, syukur, reda, bersangka baik kepada Allah, cinta dan sebagainya.

Lihatlah seruan yang diperjuangkan semua rasul dari Nabi Nuh hingga Nabi Muhammad SAW adalah tauhid. Tauhid menyeru kita mengikhlaskan perhambaan hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Ini kerja hidup kita yang paling utama sehingga seruan Rasul tentang hal ini tidak berubah daripada awal sampai akhir zaman.

Ihtisab adalah bagaimana kita menglaksanakan tauhid dengan mendidik hati mempunyai kesedaran bahawa Allah adalah penggerak dan sumber motivasi dalam setiap saat dan detik.

Memenangi reda Allah adalah motivasi untuk semua aktiviti kehidupan. Diam dan gerak, tidur dan jaga semua untuk Dia. Menjadikan hidup berpandu kepada hukum-Nya. Yang wajib dilakukan. Yang sunat digalakkan.

Saat diuji dengan perkara yang tidak disukai, semoga kita cepat mengadu kepada Allah, terima atas segala yang Allah izinkan berlaku, bersabar, makin mendekatkan diri kepada Allah dan berharap kepadaNya(ihtisab). Hanya dengan hadirnya amal hati ini, setiap ucapan dan perbuatan, diam dan gerak, memberi dan menahan, tidur dan jaga, makan dan minum, mendidik, melayani, semuanya bernilai . Semuanya peluang mendapat sebanyak-banyaknya kebaikan dunia dan akhirat.

Itulah keistimewaan amal hati. Ia juga dipanggil niat. Bagi seorang yang bertauhid, niat segala amal perbuatannya hanya untuk Allah.

Niat yang membezakan segala yang nampak sama di permukaan, namun ada kelodak di dasar yang hanya Allah mengetahuinya. Niatlah yang menjadikan amal rutin yang kecil menjadi bernilai dan penting. Niat mengubah adat kebiasaan menjadi ibadah yang sampai pada Tuhan. Niat mengubah semua aktiviti itu kepada kepuasan seseorang itu terhadap berserah diri tuhan.

Lebih membahagiakan, niat mengundang kebaikan buat seseorang yang berazam melakukan kebaikan, namun tidak terhalang oleh faktor yang tidak dapat dielakkan. Misalnya ibu yang sangat berhasrat bangun malam dan beribadah namun terhalang kerana menyusukan bayi dan meredakan anak kecil yang lain yang mungkin menangis di tengah malam dan menyusu anak itu juga amalan ibadah malah ada lebih kebaikan untuknya.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang bertekad mengerjakan satu kebaikan, lalu ia belum mampu mengamalkannya, maka Allah mencatat untuknya satu kebaikan.” Hadis Riwayat Muslim (no.190/133)

Oleh kerana itu, usah dijadikan halangan itu sebagai alasan terus-terusan tidak melakukan kebaikan. Orang yang mendapat pahala meskipun terhalang ini ialah orang yang terbiasa melakukan suatu amalan kerana Allah, lalu kerana satu sebab amalan tersebut tidak dapat dikerjakan mungkin kerana sakit, safar atau seumpamanya, maka dia akan tetap mendapatkan pahala mengerjakannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang hamba sakit atau dalam keadaan safar, maka Allah akan mencatat untuknya kebaikan yang biasa ia kerjakan taktala sihat dan mukim.” Hadis Riwayat al-Bukhari (no.2790/2996)

 

 

No comments:

Post a Comment