Assalamualaikum w.b.t.
Islam sememangnya mahukan penganutnya berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Sepengetahuan kita bahawa siapa yang berbuat baik dan taat kepada Allah S.W.T dipermudahkan kehidupannya. Kita melihat kawan-kawan kita tidak solat, namun perniagaannya maju, hidupnya mewah. Sedangkan kita hidup dengan penuh cabaran dan dugaan. Kita juga tahu bahawa Islam agama yang benar, tetapi sering kita melihat golongan bukan Islam lebih berjaya, dan umat Islam tertindas dengan kehidupan yang sempit.
Istidraj merujuk kepada keadaan seseorang yang dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam hidupnya secara berterusan, walaupun dia bukan hamba Allah S.W.T yang taat. Istidraj adalah apabila Allah S.W.T memberikan kejayaan, harta kekayaan, dan rezeki yang melimpah ruah kepada manusia, dan menjadikan manusia itu lebih jauh daripada Allah S.W.T. Pada kebiasaannya, orang yang mendapat istidraj adalah mereka yang tidak berusaha mengenali Islam dan mengenali Allah S.W.T dalam kehidupannya.
Qarun seorang manusia yang kaya. Diceritakan bahawa kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Ini menunjukkan betapa kayanya Qarun. Dia hidup pada zaman nabi Musa a.s. hartanya melimpah ruah. Semua perniagaannya berjaya. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya semakin hari semakin bertambah, bahkan tidak luak apabila digunakan.
Apabila Nabi Musa a.s cuba mengingatkan bahawa semua kekayaannya itu datang daripada Allah S.W.T. Qarun menjawab dengan sombong. Sepertimana dinyatakan dalam surah Al-Qasas ayat 78 yang berbunyi;
قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا ۚ وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ (78)
Maksudnya : “Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya)”
Lihat apa yang dikatakan oleh Qarun. Ternyata dia semakin jauh daripada Allah S.W.T, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya bertambah dan sebagainya. Apakah pengakhiran hidup Qarun? Akhirnya dia ditenggelamkan oleh Allah S.W.T ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Qasas ayat 81 yang berbunyi;
فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنتَصِرِينَ (81)
Maksudnya : “Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri”
Oleh sebab itu kita semua perlu berfikir. Apabila kita melazimkan dosa-dosa, melakukan maksiat dan kemudian kita berjaya. Ditakuti Allah telah menjatuhkan istidraj ke atas kita. Oleh itu kita wajib untuk tidak merasa tenang sekiranya kita membuat dosa, kemudian kita berjaya. Oleh itu, muhasabah diri adalah penting. Supaya kita sentiasa memeriksa dan meneliti bagaimanakah hubungan kita dengan Allah.
ahlifikirnegara: Minta jauh lah ….nauzubillah hi min zalik.
Sumber:
ڤوست إسلام
Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka
Telefon: 06-270 2091
Fax: 06-270 1042
No comments:
Post a Comment