Monday, 27 November 2017

Galakan Berfikir

Daripada Abu Zar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

تقكروا في خلق الله, ولا تقكروا في الله فتهلكوا

Maksudnya : “Berfikirlah kamu berkenaan makhluk Allah, dan jangan kamu berfikir berkenaan Allah nescaya kamu binasa.”

Riwayat Abu al-Syeikh



Pedoman dan Iktihar Hadis

Antaranya :


  1. Keistimewaan ciptaan Allah yang membezakan manusia dengan haiwan ialah akal yang membolehkan manusia berfikir dan mendapat hidayah ke arah yang benar dan betul dengan taufik Allah SWT. Berfikir adalah aktiviti menggunakan maklumat yang sedia ada dan diketahui untuk mengenali hakikat sesuatu yang belum diketahui. Selagi maklumat tersebut menepati syarat yang benar, selagi itulah ia menghasilkan natijah yang baik.
  2. Ada pun maklumat dan pengetahuan yang benar dan tepat akan mendorong seseorang ke arah keperibadian yang mulia dan beramal soleh yang membawa mereka ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
  3. Manusia ialah makhluk yang tidak boleh dikuasai dengan paksaan semata-mata. Sebaliknya, mereka boleh dibentuk dan dipimpin melalui pemikiran dan prinsip nilai serta harga diri. Justeru, apabila manusia mengamalkan nilai-nilai tersebut maka seluruh tingkah laku dan akhlak mereka menjadi cemerlang.
  4. Menurut kamus dewan edisi Keempat  berfikir ialah menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu, mempertimbangkan baik-baik dan sebagainya.
  5. Islam menggalakkan umatnya menggunakan akal fikiran untuk mencapai kepada matlamat kehidupan yang lebih baik dengan menggunakan fikiran yang bernas bersumberkan wahyu Ilahi dan petunjuk nabi. Begitu juga pengalaman orang-orang soleh sudah tentu dapat menyelesaikan banyak kemelut kehidupan.
  6. Abu Laith berkata : Jika seseorang ingin mencapai fadhilat tafakur, maka hendaklah berfikir dalam lima cara.

  • Memikirkan ayat-ayat yang membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah.
  • Memikirkan nikmat pemberian Allah.
  • Memikirkan pahala yang dijanjikan oleh Allah.
  • Memikirkan seksaan hukuman Allah.
  • Memikirkan apa yang diredai dan dimurkai oleh Allah.


7. Adapun memikirkan ayat-ayat tentang kekuasaan Allah kekuasaan Allah, dalam menciptakan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, silih bergantinya malam dan siang serta kejadian manusia itu sendiri sebagaimana firman Allah SWT:

 

وفى الأرض ءايت للموقنين (20) وفى أنفسكم أفلا تبصرون

 

Maksudnya : Dan di bumi bukti-bukti kebesaran dan kekuasaan Allah bagi orang yang yakin. Pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat?

8. Apabila seseorang memikirkan tentang bukti-bukti kebesaran tersebut akan bertambah dekat dan yakin kepada Allah.






9. Fikirlah secara positif dengan melihat sesuatu penuh hikmah daripada Ilahi dan membaiki serta mengislahkan diri kearah yang lebih baik. Jangan sekali-kali berfikir dalam bentuk negatif kerana ianya akan menjadikan seseorang tidak bermaya dan dikuasai dengan sifat-sifat mazmumah. Hal ini sudah pasti akan menatijahkan kehidupan yang tidak baik.

 



Antara faedah berfikir ialah :




  • Apabila fikiran manusia berkembang ianya menyebabkan daya tafakur manusia turut berkembang. Oleh itu, wujud kepelbagaian buah fikiran dalam kejadian dan kehidupan manusia.
  • Daya Tafakur menyebabkan manusia bersikap kreatif. Kreativiti manusia melakukan rekaan dan gubahan menyebabkan fikiran mereka berkembang dan memberi manfaat kepada yang lain. Sekiranya fikiran manusia membeku, tidak aka nada kemajuan dan perubahan.
  • Bukan sekadar itu sahaja, malah berfikir boleh melonjakkan seseorang untuk merentasi masa dan kemajuan tamadun dengan pantas. Berfikir merupakan langkah pertama yang akan dapat melahirkan dan merealisasikan perkara yang dianggap mustahil pada hukum adat. Itulah kekuatan berfikir.
  • Dengan berfikir, manusia sudah pasti menjadikan kehidupannya lebih bermakna di dunia mahupun di akhirat. Lebih-lebih lagi dengan mengamalkan terfikir secara positif.

ahlifikirnegara: Jika kita tidak berfikir, maka syaitan akan mengambil ruang yang kosong tersebut. Fikir-fikir kan lah.

Kredit to: Pusat Islam UTeM.

No comments:

Post a Comment