Assalamualaikum w.b.t bersyukur kita pada Allah S.W.T kerana masih lagi memberi kita peluang untuk menikmati nikmat beragama. Agama islam berdiri tegak berkonsepkan saling nasihat-menasihati sebagaimana hadis nabi s.a.w,
عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya : “Abu Ruqayah Tamim ad-Daari melaporkan, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda, “Agama adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” Baginda bersabda, “Untuk Allah S.W.T, kitabNya, rasulNya, pemimpin kaum muslimin dan kaum muslimin secara umum.”
(HR Bukhari dan Muslim)
Hadis ini termasuk dalam kategori jawaami’ul kalam iaitu penjelasan tentang watak Rasulullah s.a.w semasa berbicara. Ia mengandungi banyak erti dan faedah yang agung sehingga mencakupi seluruh Sunnah dan hukum syariat sama ada pokok ataupun cabang. Tidak aneh jika para ulama menyebut hadis ini adalah tiang ajaran Islam.
Sekadar Hiasan Sahaja- 3 Sahabat |
Menurut Ibnu Daqiq al-‘Id, nasihat adalah kata yang mengandungi erti yang komprehensif. Erti nasihat di sini adalah segala bentuk kebaikan yang diberikan demi kebaikan orang yang diberi nasihat. Nasihat adalah sebahagian daripada agama.
Nasihat adalah kata universal yang bermaksud memberi keuntungan kepada orang yang diberi nasihat. Sebahagian ulama mengupamakan orang yang memberi nasihat dalam dayanya menyampaikan kebaikan kepada orang yang dinasihati ibarat orang yang menutup cacat yang terdapat pada baju orang itu. Maka, menasihati orang lain sama halnya dengan menutup cela atau kekurangan yang terdapat pada dirinya.
Sekadar Hiasan Sahaja- Projek Kolam Ikan Pusaka |
Nasihat untuk Allah S.W.T maksudnya nasihat untuk agamanya iaitu dengan cara melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, membenarkan berita yang Dia sampaikan, kembali kepadaNya, bertawakal kepadaNya, melaksanakan berbagai-bagai syiar Islam dan syariat-syariatNya.
Nasihat untuk kitabNya adalah beriman bahawa kitab itu adalah kalam Allah S.W.T. ia mengandungi berita-berita yang benar, hukum-hukum yang adil dan kisah-kisah yang bermanfaat. Kita wajib bersandarkan hukum dalam segala urusan hidup kita.
Nasihat untuk RasulNya bermaksud beriman kepadanya bahawa baginda
Sekadar Hiasan Sahaja- Apa cerita? |
adalah utusan Allah S.W.T kepada seluruh alam, mencintai, meneladani dan membenarkan berita yang dibawanya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dan membela agamanya.
Nasihat untuk para pemimpin kaum muslimin maksudnya menasihati mereka dengan menjelaskan kebenaran, tidak membangkang ataupun menentang mereka, bersabar atas tindakan menyakitkan yang kadangkala mereka lakukan dan hal-hal lain yang menjadi hak-hak mereka. Begitu juga apa sahaja berkaitan mereka yang wajib kita bantu seperti melawan musuh dan sebagainya.
Sekadar Hiasan Sahaja- Sahabat Lama di Cardiff. |
Nasihat kepada kaum muslimin secara umum ertinya menasihati mereka supaya kembali kepada Allah S.W.T. memerintahkan pada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, mengajarkan kebaikan kepada mereka dan seumpamanya. Oleh sebab itu, agama adalah nasihat. Pada hakikatnya, tugas pertama kita adalah menasihati diri sendiri.
Sekadar Hiasan Sahaja- WindMill |
Alangkah besarnya peranan nasihat dalam agama. Sekiranya kita ingin mahu umat yang maju, mulia dan beruntung, kita mesti saling menasihati terutama kepada saudara-saudara kita yang masih kabur tentang ilmu agama, sesuai kemampuan dan pengetahuan yang kita miliki. Jika kita tidak melakukannya, kita termasuk dalam golongan orang yang rugi di sisi Allah S.W.T sebagaimana firmanNya,
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ(2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(3)
Maksudnya : “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”