Wednesday 11 April 2018

Cahayakan Rumahmu

Daripada Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
 
نوروا منازلكم بالصلاة , وقراءة القران
 
Maksudnya : “Cahayakanlah rumah-rumah kamu dengan solat dan bacaan al-Quran.”
 
Riwayat al-Baihaqi dalam Kitab Syu’ab al-Iman (2/358)
 
Pedoman dan Iktibar Hadis
Antaranya:
 
  1. Dalam hadis ini ditekankan dua perkara:

    *Solat sama ada fardhu atau sunat

    *Bacaan al-Quran
 
 
 
2. Semasa Allah SWT menyebut tentang orang-orang yang beriman, Allah menyebutkan bahawa mereka adalah orang-orang yang mendirikan sembahyang. Apabila Allah menyebut tentang orang-orang munafik, maka Allah SWT akan menyebut bahawa mereka adalah orang-orang yang melaksanakan sembahyang. IIni kerana orang Islam itu terbahagi kepada dua golongan:

*Golongan yang mendirikan sembahyang.

*Golongan yang melaksanakan sembahyang.



3. Oleh yang demikian, orang yang hanya melaksanakan sembahyang dan belum mendirikannya, sembahayangnya itu tidak akan dapat mencegahnya daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Sementara orang yang mendirikan sembahyang, maka sembahyangnya itu akan mencegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar. Allah SWT berfirman :

إن الصلوة تنهى عن الفحشاء والمنكر

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

(Surah al-Ankabut:45)

 
4. Kita mungkin akan mengatakan: Bagaimana dengan orang yang melaksanakan sembahyang, sementara dia aktif menghisap ganja, morfin dan sejenisnya? Bagaimana juga dengan orang yang melakukan sembahyang, tetapi dia tetap berzina dan mencuri? Maka jawapannya adalah kerana dia hanya melaksanakan sembahyang, belum sampai tahap mendirikan sembahyang.



 5. Adapun yang dimaksudkan dengan mendirikan sembahyang kerana sentiasa meresapi dan menghayati makna segala gerak gerinya dalam sembahyang mulai dari khusyuk, tawaduk,wuduk(kebersihan), keikhlasan, ketika rukuk, ketika berzikir, begitu juga dengan rohnya(nyawanya) yang sentiasa hadir dalam sembahyang tersebut.




 6. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan berkata : Perhatian orang dahulu terhadap kesedaran pemikiran. Kesedaran ini kita ambil dari apa yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dan Saidina Ali: Ajarlah anak-anakmu tiga perkara , Kasihkan Nabi SAW dan keluarganya dan mengajar membaca al-Quran.




7. Ulama-ulama silam sangat mengambil berat kesedaran ini sehingga mereka mewajibkan anak-anak mempelajari al-Quran , mengajar tentang peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW dan kebanggaan generasi lampau. Inilah antara pesanan mereka terhadap perkara tersebut.



8. Saad bin Abi Waqqas R.Anhuma berkata : Kami mengajar anak-anak kami mengenai peperangan yang dilalui oleh rasulullah SAW dan juga kami mengajar mereka al-Quran. Imam al-Ghazali mewasiatkan dalam kitab Ihya’nya, dengan mengajar anak-anak al-Quran, hadis-hadis , cerita-cerita tentang orang-orang yang soleh juga hukum agama.








9. Ibn Khaldun dalam kitabnya, al-Mukadimah telah menyarankan betapa pentingnya mengajar dan menyuruh anak menghafaz ayat-ayat al-Quran dan menerangkan bahawa bahawa mengajar al-Quran adalah merupakan asas pengajaran seluruh sukatan pelajaran yang lain bagi semua Negara Islam kerana ia merupakan syiar agama yang lebih membawa kepada keteguhan iman.




 
10. Hisyam bin Abdul Malik telah menasitkan guru kepada anaknya supaya mengajar al-Quran dan syair-syair yang bermutu. Juga ucapan-ucapan yang bernas, mengajar akhlak-akhlak yang mulia dan cara bergaul dengan manusia. Kata-kata dan pesanan-pesanan ini memberikan kita gambaran yang jelas mengenai kesedaran yang bersungguh-sungguh dalam masyarakat Islam yang lampu sama ada mereka pemerintah atau rakyat, para ulama atau orang awam, guru ataupun murid.



 
11. Justeru sewajarnya kita mendampingkan diri dengan al-Quran supaya ianya menjadi pedoman dan petunjuk dalam kehidupan kita kerana ianya merupakan kitab suci yang maha agung yang mempunyai banyak khazanah ilmiah dan hikmah yang boleh dijadikan panduan.




Dirujuk daripada Kitab Berjudul “ Pertama Buat Orang Yang Beriman” dikarang oleh YBhg. Sahibus Samahah Dr. Zulkifli  Mohamad al-Bakri.



فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka
 
Telefon: 

06-555-2016/2017/2079/2169/2039
06-331-6304/6267/6268/6260
 
Emel: